Dr. Burhanuddin, Anak Melayu Pertama Berjuang di Palestin

 


Selasa, 13 Juli 2021

Faktakini.info

Dr. Burhanuddin, Anak Melayu Pertama Berjuang di Palestin

Dr. Burhanuddin ketika itu berumur 25 tahun, beliau memulakan kembara ke Palestin pada tahun 1936. Beliau bertolak dari India. Untuk makluman Dr. Burhanuddin belajar di Aligarh Muslim University dan ada pendapat yang lain di Ismailiyah Medical College. Beliau terpengaruh dengan perjuangan Muhammad Ali Jinnah dalam All Indian Muslim League (AIML) yang menentang penjajahan Inggeris. Tujuan beliau ke Palestin, adalah untuk melihat sendiri penindasan Yahudi dan British terhadap Palestin.

Pada bulan Oktober 1936, beliau menyertai satu perarakan atau demonstrasi yang dipimpin oleh Mufti Baitul Muqaddis, Sheikh Mohammad Amin menentang Perjanjian Balfour. Akibat tindakan itu beliau ditahan selama beberapa hari oleh pihak British, atas tuduhan menyertai himpunan dan perarakan secara haram terhadap Bristish.

Setahun kemudian,  tahun 1937, beliau pulang ke Singapura, dan menerbitkan satu majalah bertajuk Taman Bahagia. Majalah tersebut memuatkan rencana tentang dunia Islam termasuk tindakan British memberikan sokongan kepada Zionis untuk merampas Palestin.

Majalah tersebut diharamkan, dan Dr. Burhanuddin di tahan selama satu hari dengan ikat jamin sebanyak $1000.00. Wang jaminan dibayar oleh keluarga Al Sagoff. Tidak lama selepas itu Dr. Burhanuddin dibicarakan atas tuduhan mendatangkan kebencian umat Islam terhadap British dan dipenjarakan selama 6 bulan oleh mahkamah Singapura.

Sumber: Gambar, Mohd Zahamri Nizar

Maklumat, Mohd Fadhli Ghani, Pusat Penyelidikan Pas Pusat 15 Mei 2017, Dr. Muhammad Muzzamil Mohammad Nor,  Sejarah Lisan Tentang Peribadi dan Perjuangan Dr. Burhanuddin al-Helmi oleh Keluarganya, Pusat Pengajian jarak Jauh USM.

Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy Suatu Kemelut Politik, DBP 2003