KEZALIMAN TENTARA SALIB YANG TAK TERBAYANG AKAL MANUSIA
Senin, 17 Februari 2025
Faktakini.info
KEZALIMAN TENTERA SALIB YANG TAK TERBAYANG DEK AKAL MANUSIA
Oleh: Helmi Effendy
Perang Salib sering digambarkan oleh Barat sebagai perjuangan suci untuk merebut kembali Baitulmaqdis, tetapi di sebalik propaganda ini tersembunyi kezaliman yang tidak terperi. Sepanjang 1096 hingga 1291, tentera Salib melancarkan siri peperangan yang dipenuhi pembunuhan beramai-ramai, perbuatan keji terhadap wanita dan kanak-kanak, serta penghancuran tamadun Islam dan Kristian Timur.
Ketika Perang Salib Pertama tiba di Baitulmaqdis pada 15 Julai 1099, tentera Salib yang dipimpin oleh Godefroy de Bouillon melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap lebih 70,000 penduduk Muslim dan Yahudi. Catatan sejarah menyatakan bahawa darah mengalir setinggi buku lali di dalam Masjid Al-Aqsa akibat keganasan mereka.
Sejarawan Barat sendiri mengakui kezaliman ini. Fulcher of Chartres, seorang penulis Latin, menulis:
"Para tentera memancung musuh-musuh mereka di jalan-jalan, menyembelih lelaki, wanita, dan kanak-kanak tanpa belas kasihan."
Selain itu, ramai wanita Muslim dan Yahudi diperkosa dan diseksa sebelum dibunuh, menunjukkan betapa ganasnya penaklukan ini.
Sebelum tiba di Baitulmaqdis, tentera Salib telah membunuh ribuan penduduk Kristian Ortodoks di Anatolia (Turki) dan Eropah Timur. Bandar-bandar Kristian di Balkan dan Konstantinopel turut dijarah dan dibakar, membuktikan bahawa perang ini bukan sekadar antara Kristian dan Islam, tetapi juga penindasan sesama Kristian.
Juga, kita perlu tahu bahawa salah satu perang salib yang digerakkan ialah melawan saudara Kristian mereka sendiri apabila mereka telah menjarah Konstantinople seteruk-teruknya. Antara kezaliman mereka di Konstantinopel termasuk:
• Pembunuhan ribuan penduduk Kristian Ortodoks, termasuk paderi dan rahib.
• Rogol dan penyeksaan terhadap wanita, termasuk rahib dalam gereja.
• Pencurian khazanah gereja dan perpustakaan.
• Pembakaran biara dan gereja, termasuk Hagia Sophia, gereja terbesar Kristian pada waktu itu.
Paus Innocent III sendiri mengecam tindakan ini, menyifatkan ia sebagai dosa besar yang tidak boleh dimaafkan. Namun, kerosakan sudah berlaku – Empayar Byzantine tidak pernah pulih sepenuhnya dan akhirnya jatuh kepada Uthmaniyah pada 1453.
Dalam serangan ke atas Tripoli (1109) dan Antiokhia (1098), tentera Salib membunuh lebih 100,000 orang Islam dan Kristian Ortodoks. Di Tripoli, mereka membakar ribuan manuskrip ilmu Islam, termasuk kitab-kitab sains dan perubatan yang berharga.
Di Antiokhia, Bohemond I memerintahkan pemenggalan kepala lebih 16,000 Muslim dalam satu malam, menjadikannya salah satu pembunuhan beramai-ramai terbesar dalam sejarah Perang Salib.
Dalam Perang Salib Ketiga (1189-1192), Richard the Lionheart mengkhianati perjanjian dengan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dan memerintahkan pembunuhan lebih 2,700 tawanan Muslim di Akka. Mereka dipancung dan dibakar hidup-hidup, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Begitulah secara ringkas kisah betapa zalimnya tentera salib yang menjual agama, bahkan bukan sahaja berlaku zalim pada orang Islam dan Yahudi, tetapi kepada pengganut Kristian itu sendiri!
Kalau anda nak mendalami lebih dalam sejarah Perang Salib, kami nak cadangkan buku terbaru kami iaitu PALESTIN: DARI SUNGAI KE SEGARA tulisan saudara Ayman Rashdan Wong yang anda boleh dapatkan di: https://s.shopee.com.my/60BgpX7SwG